Rabu, 20 Mei 2009

Selamat Hari Guru....

Sehari sebelum sambutan hari guru, saya berkesempatan untuk membaca khutbah di Masjid SMK Agama Miri. Ini merupakan teks khutbahnya....
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ رَسَمَ لِلْعِبَادِ طُرُقَ التَّرْبِيَّةِ الصَّحِيْحَةِ.
أَشْهَدُ اَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى هذَا النَّبِيَّ الْكَرِيْمِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوْا الله، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.


Saudara Muslimim sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Dikesempatan yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita sama-sama bersyukur dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Mudah-mudahan dengan segala kurniaan nikmat-Nya akan meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya semoga kita tergolong di kalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat .

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Pada hari esok, sekali lagi kita akan menyambut hari guru. Tarikh keramatnya 16 mei setiap tahun, telah diistiharkan sebagai hari guru. Pada hari ini marilah kita sama-sama mengingati budi dan jasa guru-guru kita. Marilah kita kenangkan kembali pengorbanan guru-guru kita. Merekalah orang yang mengajar kita, sehingga kita tahu membaca dan menulis, membuka minda dan akal , sehingga kita menjadi insan yang berguna pada hari ini. Oleh itu tarikh keramat ini tidak wajar dilupakan oleh sesiapa sahaja, samada seorang pemimpin yang berkuasa atau pun hanya seorang rakyat jelata.


Sidang jumaat yang berbahagia,


Islam telah meletakkan seorang guru pada kedudukan yang tinggi dan mulia. Guru sebenarnya melaksanakan sebahagian tugas seorang rasul. Para rasul telah mendidik umatnya,mengeluarkan mereka daripada kejahilan kepada kebenaran. Begitu juga dengan peranan dan tugas seorang guru, mereka bertanggungjawab mendidik masyarakat menjadi orang yang berilmu dan berguna. Oleh itu, apabila kita bercakap tentang guru, kita sebenarnya bercakap tentang salah satu tugas dan peranan para rasul. Banyak persamaan tugas antara seorang rasul dan seorang guru. Kalau rasulullah s.a.w menyifatkan dirinya sendiri sebagai seorang guru, itu adalah satu petanda yang amat jelas, betapa tingginya kedudukan dan kemuliaan seorang guru.


Sidang jumaat yang dihormati allah,


Kalau kita lihat dalam sejarah ketamadunan islam, telah lahir sejumlah guru yang merupakan alim ulamak yang hebat. Mereka adalah golongan yang amat dihormati sejak dahulu lagi.Bahkan para sahabat rasulullah s.a.w telah dididik untuk menghormati orang yang berilmu. Paling jelas, apa yang telah diucapkan oleh Saidina Umar Al-Khatab dalam syairnya :


Man Allamani Harfan * Kuntu Lahu Abdan


"Sesiapa yang telah mengajarkan aku walaupun satu huruf * Aku rela menjadi hamba kepadanya"


Sidang jumaat yang berbahagia,


Indahnya islam, satu agama yang mengajarkan kita menghormati orang yang berilmu walaupun guru itu bukan beragama islam,asalkan guru itu tidak mengajak kepada kesesatan. Guru itu mempunyai kemuliaan tersendiri disisi islam. Guru adalah tempat mengalirnya ilmu kedalam jasad dan minda kita. Ilmu yang dimiliki oleh guru, adalah hikmah dan permata yang amat bernilai. Kita mesti mengambil dan memilikinya . Tidak kira dari mana sumbernya dan dimana ilmu itu ditemui. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Hikmat itu umpama barang yang hilang milik orang yang beriman, ambillah hikmah itu daripada siapa sahaja yang engkau mendengarnya, tidak kira daripada mana tempat terbitnya hikmah itu".


Sidang jumaat yang berbahagia,


Jasa guru tidak mungkin dilupakan atau pun dipadamkan oleh sejarah. Guru sudah lama mencurah jasa pada bangsa dan nusa.Mereka adalah pencetus kebangkitan ummat sebelum merdeka dan membangun negara sesudah merdeka. Sungguh pun guru tidak membina bangunan, tetapi guru membina manusia yang akan tinggal didalam bangunan itu. Guru membina manusia dan menjana modal insan. Oleh itu , kita tidak mungkin dapat membalas sepenuhnya jasa guru-guru kita.


Jasa guru akan terus bersambung selagi ada generasi. Sumbangan mereka tidak pernah putus. Sekali dia menjadi guru, selamanya dia akan dipanggil guru. Jika dahulu dia adalah guru kita, mungkin sekarang dia adalah guru untuk anak-anak kita pula. Tidak ada satu anugerah, walaupun sebesar mana sekali pun, yang dapat membalas jasa guru.


Sidang jumaat yang berbahagia,


Sebagai ibu bapa, berilah penghargaan kepada guru-guru anak kita. Mereka telah mendidik anak kita. Oleh itu berilah sokongan dan bantuan untuk mereka meneruskan tradisi mendidik ummat. Jika anak kita berjaya dengan cemerlang,
katakanlah ini adalah panduan dan tunjuk ajar guru yang amat besar dalam merintis kejayaan mereka. Janganlah pula, apabila anak telah berjaya, seolah-olah itu adalah usaha gigih anak itu sendiri seolah-olah guru itu dinafikan sumbangannya.Tetapi apabila mereka gagal, selalunya orang akan menuding jari kepada guru. Guru dianggap penyebab besar kepada kegagalan itu. Oleh itu,marilah kita sama-sama mendidik masyarakat supaya menghormati guru. Sebagai ibu bapa, ucapkanlah terima kasih kepada guru anak-anak kita, diatas jasa yang telah mereka curahkan. Hari guru ini adalah hari yang paling baik untuk anak-anak kita mengutuskan ucapan terima kasih kepada guru-guru mereka, walaupun guru itu tidak mengharapkan apa-apa pujian.
Sidang jumaat yang berbahagia,


Ibu bapa seharusnya sedar bahawa ibu bapa adalah guru pertama bagi anak-anak mereka. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, ibu bapa telah pun berperanan sebagai seorang guru, diazankan ditelinga bayi itu dengan menyebut kalimah allah. Suara ibu bapa adalah suara yang selalu didengar oleh seorang bayi, walaupun dia tidak memahami apa-apa ketika itu, sehinggalah bayi itu tahu menyebut kalimah "Emak" atau "Bapa".Itulah kalimah awal yang ditutur oleh seorang bayi. Tanggungjawab mendidik anak supaya menjadi insan yang baik dan berakhlak mulia, tetap menjadi tanggungjawab dan amanah yang terpikul dibahu kedua ibu bapa, bahkan amanah dan tanggungjawab tersebut akan disoal dihadapan allah, dipadang mahsyar kelak.


Masyarakat harus sedar, bahawa mendidik bukan tugas guru semata-mata. Kesibukkan ibu bapa bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab ini, walaupun sesetengah ibu bapa dapat mengupah guru yang baik untuk mendidik anak-anak mereka. Tanggungjawab asal mendidik anak-anak itu tetap menjadi tanggungjawab ibu bapa. Firman allah s.w.t:











"Wahai orang-orang yang beriman!, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka, yang bahan-bahan bakarnya. Manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".




(At-Tahrim ayat 6)


Sidang jumaat yang berbahagia,

Renungan buat guru-guru yang sentiasa dimuliakan. Guru-guru mestilah menerapkan system pendidikan rabbani dalam diri. Sistem pendidikan rabbani ialah yang terangkum 2 unsur. Pertama, unsur insan. Kedua, unsur ihsan. Kedua-duanya berteraskan Hablumminnas dan Hablumminallah. Sebab itu, kecemerlangan guru-guru bergantung kedua-dua hubungan tersebut. Maksudnya, setinggi mana ilmu guru itu, ia tidak bermakna sekiranya hubungan dengan Allah tidak berlangsung sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Guru mestilah menyelesaikan segala tanggungjawab ibadah khusus seperti solat, puasa, zikir, tadabbur al-quran dan ibadah umum seperti keikhlasan dalam menunaikan tanggungjawab. Begitu juga penerapan pendidikan seharian. Guru mestilah menyemai 2 unsur ini kepada pelajar sama ada dalam bilik darjah mahupun diluar bilik darjah. Dengan system pendidikan rabbani ini, insyaAllah bukan sahaja akan dapat melahirkan modal insan yang “high tech” bahkan dapat melahirkan modal insan yang “high touch”. Justeru, sempena sambutan hari guru yang akan disambut pada esok hari, saya mengajak guru-guru untuk bermuhasabah dan membuat penambahbaikan terhadap nilai dan pegangan kita.

Sidang jumaat yang dihormati Allah sekalian,

Sempena dengan sambutan hari guru pada tahun ini, marilah kita sama-sama menghargai jasa guru kita, jasa guru-guru anak kita.Ucapkanlah terima kasih kepada mereka, walaupun guru itu kerap kali tidak mengharapkan balasan mahu pun ucapan terima kasih. Kepada guru-guru kita yang telah kembali ke-rahmatullah, hadiahkanlah al-fateha kepada mereka, semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.









"Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu pengetahuan diantara kamu dengan beberapa darjat. Dan (ingatlah) allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan".

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Tiada ulasan: